Ahad, 27 Mac 2011

Air Mata.....


Air mata..
Zahirnya titisan bening terbit dari pelupuk mata
Mengalir kala kolam sepasang mata tiada mampu mengempangnya
Namun..
walau hanya titisan air tampak tiada harga
memberi sejuta makna pada pemilik raga
Ekspresi gelojak dan rasa di jiwa


Air mata dan tangis…
Bahasa pertama seorang manusia
untuk dewasa mencari punca
apa ingin dikhabar si kecil tercinta
Inginnya, sakit, lapar,takut, tidak selesa
tangisan dan air mata menjadi bahasa


Air Mata dan tangis
Kala sanubari dirangkul gembira..
Titis itu cermin terharu dan bahagia
Menggamit insan memandang ikut ceria
menangis gembira hati bahagia


Air Mata…
Kala kesakitan tiada terperi
Titis itulah bercerita pada pemerhati
walau ulas bibir rapat terkunci
cukup buat insan mengerti


Air Mata..
Kala sanubari dihimpit duka
titis itu teman derita
meringan beban hati sengsara
Engkaulah teman kala bahagia dan nestapa


Air Mata..
Engkaulah teman rafik raga dan sanubari
Engkau hanya biasa bagi yang tidak menger
ti hakikatnya engkaulah pembela di akhirat nanti
jika gugurmu kerana Ilahi


Air Mata..
Gugurlah engkau kerana takutku pada yang Esa
Gugurlah engkau kerana takutku pada azab di alam baqa
Gugurlah engkau kerana takutku pada azab neraka
Gugurlah engkau kerana takutku menghadapi dahsyatnya akhirat sana
Gugurlah engkau kala keinsafan di atas segala dosa
Gugurlah engkau kala rasa hinanya diriku di sisi Yang Esa
Gugurlah engkau kala kumemohon diampun dosa dan alpa
Gugurlah engkau kala kumemohon taubatku diterima
Gugurlah engkau kala kumemohon petunjukNya
Gugurlah engkau kala kumemohon bantuanNya
Gugurlah engkau kala ku memohon mati dalam rahmatNya
Gugurlah engkau kala kumemohon menghuni syurgaNya
Gugurlah engkau kala kumengharap redhaNya
Gugurlah engkau kala kumengharap cintaNya
Gugurlah engkau kala kurindu pada Pencipta
GUgurlah engkau kala kurindu hampir padaNya
Gugurlah engkau kala ku rindu pada kekasihNya
Gugurlah engkau kala kusujud pada yang Kuasa
Gugurlah engkau kala kutadabbur Kalam yang Esa
Gugurlah engkau kala zikirku pada Yang Kuasa
Gugurlah engkau kerana Yang Esa
kerana kuingin setiap titismu menjadi pembelaku
kerana kuingin setiap titismu menjadi saksiku
kerana kuingin setiap titismu menyelamatkan diriku
kerana kungin setiap titismu membawa ku ke syurga idamanku
kerana kuingin setiap titismu kudapat melihat wajah Rabbku..
kerana kuingin setiap titismu bawa bahagia abadi buatku
walau engkau hanya setitis air membasahi pipi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan